
Berdasarkan temuramah The Times of India dengan seorang eksekutif semalam, Sony Corp akan menjenamakan semula Sony Ericsson kepada jenama Sony sepenuhnya. Pada Oktober lepas Sony Corp dikatakan telah membeli semua kepentingan Ericsson dalan syarikat usaha sama dua syarikat gergasi berkenaan (Sony Ericsson).
Sony Corp akan memulakan proses penjenamaan semula pada tahun hadapan dan dijangkakan semua jenama Sony Ericsson akan dihentikan sebelum pertengahan 2012. Telefon jenama Sony kelak akan memfokuskan kepada sistem pengoperasian terbuka Android yang dibangunkan oleh Google. Sony Corp mensasarkan jenama Sony akan menjadi pengeluar telefon pintar Android utama pada masa akan datang.
“Sony merupakan syarikat hiburan terbesar dunia. Kami pada asalnya adalah syarikat usaha sama dengan pegangan 50% saham, tapi kini kami menjadi syarikat milik penuh Sony Corp. Kami menjangkakan akan memperoleh manfaat dari aset, kandungan, teknologi dan pengaruh jenama Sony” kata beliau.
Untuk rekod, Sony Ericsson pada masa ini mempunyai pegangan pasaran sekitar 2% untuk segmen telefon mudah alih seluruh dunia.
[via The Times of India]









