Sebelum ini kita sudah menyaksikan kecantikan skrin Super AMOLED pada telefon-telefon Samsung. Pernahkah anda terfikir alangkah indahnya skrin ini pada sebuah tablet?. Saat itu telah tiba apabila Samsung buat julung kalinya mengeluarkan sebuah tablet dengan skrin Super AMOLED Plus. Kali ini kami di MalayAndroid.com akan membawakan kepada anda satu lagi ulasan bagi sebuah tablet terbaru dari Samsung iaitu Samsung Galaxy Tab 7.7 ( GT-P6800 ). Buat pengetahuan pembaca, tablet ini baru sahaja dilancarkan oleh Samsung pada pertengahan bulan Februari yang lepas dan kami berpeluang untuk mencuba tablet terbaru ini. Terima kasih kepada Samsung diatas set tersebut.
Spesifikasi :
Pemproses/Antaramuka Pengguna
1.4GHz Dua-Teras Exynos, Pemproses grafik Mali-400MP
Honeycomb 3.2 dengan TouchWiz UX
Dimensi
196.7 x 133 x 7.89 mm
Berat
340g
Memori
1GB (RAM), 16GB (ROM)
Sokongan tambahan kad memori sehingga 32GB (microSD)
Paparan/Skrin
7.67″ Skrin kapasitif Super AMOLED Plus, 16 juta warna
1280 x 800 WXGA 197 pixels per inch (ppi) densiti
Rangkaian/Sambungan
850 / 900 / 1,800 / 1,900MHz GSM & EDGE
850 / 900 / 1,900 / 2,100MHz 3G
HSPA+ 21Mbps / HSUPA 5.76Mbps
Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
Sokongan Dual-band (2.4GHz, 5GHz)
802.11n,Wi-Fi Channel Bonding,Wi-Fi Direct™
Allshare
Bluetooth v3.0
USB 2.0
Samsung Kies
Kamera
3 Megapiksel ( Belakang)
2 megapiksel ( Hadapan )
Bateri
5,100mAh bateri Lithium Polymer terbina dalam.
Masa Sedia : Sehingga 1200 jam(2G) / 1100 jam(3G)
Panggilan Suara : Sehingga 2050 min (2G) / 1200 min (3G)
Main Semula Video : Sehingga 9 jam
Tablet ini datang bersama dengan seunit pengecas, alat bebas tangan berwarna putih, kabel USB, 4 pasang getah penyumbat untuk fon telinga/alat bebas tangan tersebut dan juga satu buku manual. Dengan berat hanya 340g, ketebalan hanya 7.89mm ianya sangat nipis, tidak terlalu berat dan masih boleh dimasukkan ke dalam poket seluar dan beg tangan wanita. Namun oleh kerana tablet ini menyokong sepenuhnya fungsi sebuah telefon, adalah sedikit janggal apabila jika anda kelihatan menggunakan tablet ini bagi menjawab panggilan dengan menekap muka ke skrin tablet ini. Digalakkan anda menjawab menggunakan set bebas tangan. Tetapi jika anda selamba seperti saya, apa salahnya kan?.

Ciri-Ciri Fizikal/Rekabentuk
Jika anda memegang tablet ini buat pertama kalinya, anda pasti tertarik dengan binaannya yang berkualiti, tidak terasa ‘murah’ lagi dengan bahan berkualiti premium yang digunakan. Bahagian belakang tablet ini dibina daripada sejenis logam aluminium yang menampakkan keutuhannya. Cuma sedikit bahagian atas dan bawah aluminium tersebut terdapat bahagian plastik yang dikatakan merupakan ruang untuk antena penerima. Bahagian hadapan dibina oleh material plastik matte hitam biasa seperti mana-mana telefon Samsung yang lainnya tetapi jika anda melihat tablet ini dari hadapan anda akan melihat lebihan bahagian belakang tablet ini membentuk bazel dikelilingnya. Skrinnya sangat jelas dan bersaiz 7.7 inci seperti namanya yang diambil dari saiz skrin ini. Jika dibandingkan dengan saiz Samsung Galaxy 7 Plus, tablet ini agak besar sedikit.

Atas kiri : Slot kad sim dan memori. Atas kanan : Pembesar suara ( Kiri & kanan) dan port USB/pengecas. Bawah kiri : Butang 'Power' dan butang bunyi. Bawah kanan : Port fon telinga/bebas tangan 3.5mm
Bahagian kanan atas sekali ialah tempat dimana butang ‘Power’ diletakkan. Bawahnya pula ialah butang kawalan bunyi. Keluaran pembesar suara untuk bunyi pula terletak di bahagian bawah iaitu dua keluaran stereo manakala tengah-tengah antara dua keluaran bunyi itu ialah port untuk mengecas dan kabel USB menggunakan port yang sama. Tiada port untuk microUSB disediakan pada tablet ini. Bahagian kiri bawah sekali ialah tempat anda memasukkan kad memori microSD. Kad sim telefon pula boleh dimasukkan pada slot kad sim di bahagian sebelah atas bersebelahan slot microSD tersebut. Bahagian atas sekali tablet ini pula anda akan dapati terdapat lubang yang merupakan tempat dimana anda boleh masukkan fon telinga/alat bebas tangan yang menggunakan piawaian biasa 3.5mm. Jika anda perhatikan betul-betul anda akan dapati terdapat dua lubang kecil di bahagian atas dan bawah tablet ini. Untuk makluman lubang tersebut merupakan lubang untuk mikrofon yang digunakan semasa panggilan suara dan juga sewaktu membuat rakaman video dimana ianya merakam audio stereo. Untuk tambahan, tidak terdapat port Infra red pada tablet ini tidak seperti yang pernah diumumkan sebelum ini. Mungkin Samsung telah mengubah spesifikasi tersebut pada versi jualan untuk pengguna ini.
Bunyi Dan Paparan Skrin
Kualiti bunyi boleh dikatakan sangat memuaskan bagi pemain muzik dan pemain video terbina dalam. Bunyi yang keluar dari pembesar suara yang jelas dengan bunyi bass yang lebih serta kuat, menarik perhatian saya. Untuk pengetahuan pembaca juga, tablet ini dikatakan menggunakan satu teknologi keluaran bunyi 3D ( 5.1 saluran ) melalui pembesar suara terbina dalam mahupun fon telinga. Anda boleh memilih tetapan ini pada pemain muzik dan pemain video. Kualiti bunyi dari fon telinga alat bebas tangan yang disertakan pula saya rasakan biasa-biasa sahaja. Jika anda inginkan bunyi yang lebih menarik saya sarankan anda gunakan alat fon telinga yang lain yang berada di pasaran kerana ianya tidak menjadi masalah kerana tablet ini menggunakan saluran keluaran piawaian biasa iaitu 3.5mm.
Seperti yang diketahui keluarga skrin AMOLED daripada Samsung terkenal dengan kualiti gambar yang sangat cantik dan jelas. Namun apa yang menarik tablet ini menggunakan skrin Super AMOLED Plus, iaitu versi HD skrin Super AMOLED dan ini pertama kali Samsung menggunakan skrin ini pada tablet mereka. Hasilnya anda mendapat tablet dengan skrin yang amat terang dengan kualiti HD yang jelas, saya jamin anda pasti berpuas hati dengan skrinnya.

Perbandingan Skrin. Super AMOLED Plus kiri sekali, LCD dari Samsung Galaxy SL dan HTC Desire HD tengah dan kanan sekali
Kamera
Terdapat dua kamera pada tablet ini. Kamera utama berkeupayaan merakam gambar dengan resolusi sehingga 3 Megapiksel dan kamera kedua di bahagian hadapan pula 2 Megapiksel. Kualiti gambar yang dihasilkan oleh kamera utama boleh dikatakan memuaskan bagi sesebuah tablet. Namun sayangnya tiada fungsi zoom untuk rakaman video dan gambar. Anda boleh memilih beberapa tetapan yang disediakan didalam tetapan kamera antaranya anda boleh memilih ‘scene mode’ dan ‘shooting mode’ untuk bermain dengan gambar yang anda rakam.
Berikut merupakan contoh gambar dari kamera utama 3 Megapiksel.


Ia juga dapat merakam video dengan kualiti HD 720p. Audio yang dirakam untuk video adalah dalam bentuk stereo berikutan tablet ini mempunyai dua mikrofon di kiri dan kanan tablet ( jika dalam mod landscape ). Kedudukan lubang mikrofon di sebelah kanan agak mengganggu kerana ianya mudah tertutup dengan jari anda sewaktu anda memegang tablet ini sewaktu rakaman dijalankan. Bagi kualiti gambar pula jika anda merakam gambar pada waktu malam, ianya tidak begitu cantik kerana saya dapati terdapat banyak hingar. Namun bagi rakaman gambar waktu siang dan objek dekat ianya agak jelas dan cantik.
Perisian
Tablet ini menggunakan versi Android Honeycomb 3.2 dengan sentuhan Samsung iaitu TouchWiz UX sebagai antaramuka pengguna. Honeycomb dikatakan merupakan antaramuka yang dicipta khas oleh Google untuk tablet kerana kebolehan untuk melakukan banyak kerja dalam satu masa ( multitasking ) namun ianya adalah sedikit lembab. Ini boleh dilihat di tablet ini semasa membuka satu-satu aplikasi atau proses. Namun ianya akan diselesaikan dengan kemaskini Ice Cream Sandwich ( ICS ).
Samsung menyediakan satu pintasan pada menu bahagian tengah bawah skrin (Anak panah ke atas), dimana disana terletak beberapa pintasan aplikasi yang anda boleh gunakan yang dinamakan ‘mini apps’. ‘Mini apps’ terdiri daripada beberapa aplikasi yang direka khas yang dapat anda gunakan dalam masa yang sama anda membuat perkara lain. Contohnya anda boleh menggunakan kalkulator didalam masa yang sama anda sedang mengedit dokumen. Kalkultor tersebut akan ‘ terapung ’ di atas skrin anda sedangkan pada masa yang sama anda boleh membuka atau melakukan kerja lain pada skrin utama.
Selain daripada itu, Samsung menyertakan beberapa aplikasi yang berguna kepada para pengguna tablet ini antaranya ialah ‘Photo editor’ ,’Video maker’ dan sebuah aplikasi untuk membolehkan anda mengedit dokumen iaitu ‘Polaris office’. Selain daripada itu terdapat aplikasi lazim bagi peranti android Samsung iaitu ‘Samsung aps’, ‘Game hub’ dan ‘Social hub’. Seperti biasa, aplikasi biasa bagi android ataupun yang dikenali sebagai ‘Google apps’ yang terdiri daripada Gmail, map, latitude, Youtube, places dan Play Store turut disertakan. Terdapat satu aplikasi yang saya gemari iaitu ‘ Pulse’ iaitu sebuah aplikasi seakan-akan ‘Google Currents’ dimana dengannya anda boleh membaca berita dari web-web atau blog kegemaran anda dengan antaramuka yang cantik dan mudah digunakan.
Untuk pemain video pula, saya dapati tiada masalah memainkan video dengan format HD penuh 1080p pada tablet ini. Saya mencuba memainkan filem ‘Avatar’ dengan format AVI HD penuh 1080p dan didapati pemain video terbina dalam tiada masalah memainkan video ini dan anda juga boleh menggunakan ‘seekbar’ untuk memilih dibabak mana anda ingin mainkan tanpa berlaku gangguan pada pemain video seperti masalah ‘force closed’ atau ‘hang’ walaupun fail tersebut agak besar ( 4GB ). Gambar pula sangat memuaskan dengan warna yang terang, terima kasih pada teknologi skrin Super AMOLED dari Samsung.
Untuk pemain muzik terdapat pilihan preset equalizer iaitu auto, rock, pop, jazz, classic, dance, live dan custom. Alat bebas tangan/fon telinga yang disertakan mempunyai fungsi mengawal bunyi dan fungsi untuk Pause/Play sahaja. Tiada fungsi untuk melangkau ke lagu seterusnya atau lagu sebelumnya.
Konklusi
Selepas bersama tablet ini dan menggunakannya didalam kehidupan seharian selama lebih kurang seminggu, saya dapati ianya amat berbaloi bagi pengguna yang mengginginkan sebuah gajet yang boleh membantu didalam kehidupan seharian, membantu didalam urusan pekerjaan dan disamping itu dapat memberikan sedikit hiburan. Oleh kerana ianya sebuah tablet, dengan skrin yang terang dan tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil, jika anda memilih untuk melakukan urusan kerja disini seperti menaip/memeriksa emel, mengedit dokumen ianya mudah disesuaikan dan anda pasti merasakan kepuasan. Begitu juga dengan hiburan. Saya secara peribadi menyukai kualiti bunyi dari pembesar suaranya dan saya rasakan bunyi dari telefon Android tua saya iaitu HTC Desire HD turut kalah dengannya. Bunyinya sangat kuat ditambah lagi dengan gambar yang sangat cantik sangat sesuai untuk anda menonton video padanya.
Skrin Super AMOLED Plus merupakan kekuatan model ini, hasil perbandingan dengan tablet Samsung Galaxy Tab 7 Plus mendapati skrin tablet itu sangat jauh ditinggalkan jika dibandingkan dengan kualiti gambar. Tetapi anda jangan tertipu dengan gambar yang dipaparkan pada skrin Super AMOLED ini kerana sebenarnya gambar ini tetap sama jika ianya dipindahkan ke komputer atau pemapar lain dan dibandingkan dengan gambar-gambar lain yang sumbernya berbeza.
Jangka hayat bateri sangat memuaskan. Walaupun telah menonton sebuah video dengan panjang lebih dari 2 jam dan menggunakannya untuk ber ‘Facebook’, Twitter dan beberapa panggilan telefon dan SMS, itu tidak termasuk melihat dan membelek tablet ini purata setiap 5 minit (mungkin kurang, kejap-kejap nak tengok,maklumlah benda baru), namun bateri masih mempunyai lebih 50% walaupun sudah lebih separuh hari berlalu (lebih 12 jam). Terima kasih pada bateri dengan kapasiti 5100mAh.
Tablet ini dijual dengan harga runcit RM2099. Walaupun dengan harga jualan RM2099 ( Kemaskini – Harga terbaru tablet ini ialah RM1899) kelihatan tinggi, namun cuba anda bandingkan dengan kepuasan yang akan anda terima, dengan skrin Super AMOLED Plus yang besar dan kualiti binaan, saya rasakan ianya sangat berbaloi. Tablet ini sudah boleh didapati di pengedar Samsung yang sah ketika ini ataupun anda boleh dapatkannya di syarikat telekomunikasi terpilih dengan pakej yang disediakan.






















perghhh! gila babi detail ah review! cantik ah bro, i’m impressed!
ape ni bro puji rakan separtner…kah..kah.. ;p
teringin nak beli yang ni
Silakan…
amat disyorkan
salam bro, nk taye pendapat..
kl0 banding kan g.tab 7.7 dgn g.note mane ok? harge pn lebih kurang same kn.. mne bro lbh prefer? tq
lebih kurang je dua2 tu kalo dari segi spec dalaman.ikut saudarala..kalau g.note confirmla muat masuk poket.kalau gtab 7.7 ni kalau seluar saudara poket besar bolehla masuk tapi nampak la berbentuk petak kat poket tu. n kalau seluar jean mmg ketat la kalau nak masukkan gak..kalau tab 7 plus plak lebih kecik sikit. Ikut saudara la mana yang selesa. Kalau xkisah dari segi saiz, nakkan kepuasan skrin, sambar je 7.7
salam.. kalau kita nak update ke ics boleh ker?
InsyaAllah boleh…cuma belum ada berita lagi.jika ada akan kami update
salam bro.. saya dah guna 7.7 ni hampir sebln, d samping galaxy note.. 7.7 ni saya perhatikn kdg2 dia akan hang & mcm2 lg kalo kita bukak byk aplikasi sekaligus berbanding galaxy note..
sebb galaxy tab run 3.2 honeycomb dengar crite 3.2 ni bnyak bug…
slm..sy ada kmusykilan la..bila sya on data dn main aplikasi spt fb & lain 2 or tgh download something ke..mesti sush nk trima call masuk..knape yek..
bole upgrade ke ICS ke?? mcm mne nk wat?
Boleh sangat, aku pun upgrade sampai ke JB, yang penting kau root dulu and check kat XDA forum untuk Tab 7.7: http://forum.xda-developers.com/forumdisplay.php?f=1485
tablet samsung yang paling canggih dan popular, sayangnya kena ban, di malaysia masih boleh beli
Antara g.note 10.1″ dan g.tab 7.7″ yg mana lebih disyorkan? Lebih kepada online, share docs dan key in data.
biasanya berapa lama untuk mengecas bateri tab ni..especially for SGT 2 10.1?
tQ
ini masalah sya..kenapa gtab 7.7 sya langsung x boleh on ni..bateri masih full ..langsung tiada apa2 respon on x bole apa pn x bole..tolong sya siapa yg bole selesaikn masalah ni..geram sya..