Khabar angin terkini menyatakan bahawa ASUS kini sedang bertungkus lumus menyediakan sekurang-kurangnya 600,000 unit peranti Tablet Nexus, sebagai persediaan untuk pelancaran rasmi pada bulan Julai nanti. Mengikut laporan, Tablet Nexus dijangka mencatat jualan antara 2 hingga 2.5 juta unit menjelang akhir tahun nanti.

Tablet Nexus pada mulanya dijangka dilancarkan pada bulan Mei tetapi ianya ditangguh untuk diberi rekabentuk baru serta mencari jalan untuk mengukaran kos pengeluaran. Pada dasarnya Google tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai mereka bekerjasama dengan ASUS untuk menghasilkan Tablet Nexus, namun terdapat banyak petunjuk yang menyokong khabar angin tersebut. Kami menjangkakan Google akan membuat pengumuman rasmi di majlis Google I/O 2012 pada akhir Jun nanti.
Sebelum ini ramai berpendapat Tablet Nexus dihasilkan berdasarkan model ASUS MeMo 370T dengan harga USD249 yang dipamerkan di CES baru-baru ini, namun laporan terbaru menunjukkan Google mahu mengurangkan lagi harga tersebut dengan mengubahsuai spesifikasinya. Terdapat juga khabar angin yang lain mengatakan bahawa jangkaan harga sekitar USD199 sahaja.
Source: DigiTimes









