HTC One X dan Samsung Galaxy S III, dua telefon Android yang dikatakan paling berkuasa buat ketika ini kerana kedua-duanya dikuasakan dengan pemprosesan empat teras. Saat ini merupakan satu lagi perlawanan antara dua jenama yang sangat dikenali di dunia Android iaitu antara Samsung dan HTC. HTC mempunyai kelebihan apabila ianya diperkenalkan kepada pengguna lebih awal sebelum Samsung iaitu pada awal April manakala Samsung menggunakan langkah HTC itu sebagai panduan dan penanda aras Samsung supaya telefon terbaru mereka yang seterusnya iaitu Samsung Galaxy S III ini mempunyai spesifikasi yang setanding atau melebihi telefon HTC itu. Dengan kedua-dua telefon Android berkuasa ini menunjukkan mereka yang terbaik, kita sebagai pengguna sebenarnya yang menentukannya.
Apabila HTC memperkenalkan HTC One X seawal April lepas, peranti itu telah memikat pengguna Android dengan beberapa ciri-ciri menarik yang terdapat padanya seperti spesifikasi telefon yang tinggi malah HTC juga mempertaruhkan teknologi yang menggunakan sepenuhnya kamera 8 Megapikselnya dimana telefon berkenaan mempunyai pemproses imej didedikasi khas dengan teknologi ImageChip dan juga ImageSense. Menurut HTC, ImageSense dikatakan teknologi yang membawakan telefon berkenaan ke arah pengalaman seperti menggunakan kamera digital sebenar dengan kebolehan untuk mengambil gambar statik semasa anda sedang merakam video, mengambil gambar semasa dalam keadaan gelap, kurang cahaya atau dengan latar yang gelap tidak menjadi masalah. Lampu denyar ( flash ) nya pula dikatakan mempunyai 5 peringkat kecerahan dimana sewaktu anda mengambil gambar, telefon berkenaan akan mengesan jarak objek yang anda ingin ambil gambarnya dan menggunakan kecerahan lampu denyar yang sesuai. Hasilnya anda tidak lagi mendapat gambar yang terlalu terang berwarna putih seperti sebelum ini pada telefon lain yang menggunakan ‘flash’ biasa yang menampakkan gambar yang tidak asli dan kurang cantik.

Belakang : Gambar terlalu terang akibat 'flash', Depan : Gambar lebih asli dengan teknologi 'smart flash' HTC.
HTC One X menggunakan pemproses empat teras NVIDIA Tegra 3 dengan kelajuan 1.5GHz dipadankan dengan 1GB RAM dan memori terbina dalam 32GB. Saiz skrin pula 4.7 inci beresolusi 720p skrin jenis Super LCD2. Rupa fizikal badannya terbina dari unibodi polikarbonat. Pemproses grafik terbina dalam cip NVIDIA ini ialah Tegra 3 yang dikatakan sebelum ini ianya cukup berkuasa. Namun adakah benar tanggapan ini?. Apa yang kurang menarik pada telefon HTC ini ialah ianya menggunakan bateri yang tidak boleh ditukar ( built-in ). Nampaknya anda tidak boleh berbuat apa-apa jika setelah sekian lama anda menggunakan telefon ini, telefon anda mula mempunyai masalah bateri cepat habis, perkara biasa apabila kita memakai telefon dengan bateri boleh cas. Mungkin ini salah satu strategi pemasaran HTC ?. Anggapan saya apabila telefon anda mengalami masalah ini yang saya fikir mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 2 tahun, anda perlu tukar sahaja ke model telefon lain yang lebih baru.
Samsung Galaxy S III pula ‘bertarung’ dengan telefon HTC ini dengan cukup adil sekali. Dengan spesifikasi yang lebih kurang sama dengan pesaingnya iaitu dengan skrin Super HD AMOLED 4.8-inci, pemproses Exynos empat teras juga tetapi dengan kelajuan 1.4GHz dipadankan dengan RAM 1GB juga dan kamera dengan resolusi yang sama iaitu 8 megapiksel dengan teknologi ‘zero shutter lag’. Fizikal badannya dibina dari polikarbonat. Samsung Galaxy S III didatangkan dengan pilihan memori dalaman bersaiz 16/32/64GB dan sudah tentulah anda terpaksa membayar berbeza untuk variasi memori seperti itu bergantung kepada pilihan anda. Namun bateri Samsung Galaxy S III ini lebih besar kapasitinya iaitu 2100mAh dan boleh ditukar ganti tidak seperti HTC. Namun pada pendapat saya jika dilihat dari segi rekabentuk, didapati rekaan Samsung tidak menarik dan tidak berkembang dari peranti-peranti mereka sebelum ini. Jika dilihat dari satu model ke satu model, rekabentuknya adalah lebih kurang sama tidak seperti HTC yang menampakkan perbezaannya. Selain mempertaruhkan keupayaan kamera dengan ‘zero Shutter lag’, Samsung turut menonjolkan teknologi ‘multitasking’ pada aplikasi pemain videonya dimana video yang sedang anda mainkan dapat di kecilkan dan di’terapungkan’ pada sebarang aplikasi lain yang anda ingin lakukan.
Pemutus seri
Jika kedua-duanya mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama, jadi apa yang perlu anda perhatikan selain daripada itu?. Mari kita perhatikan kedua-dua telefon Android ini dari segi kuasa pemproses mereka pula. Tegra 3 di umumkan dan diperkenalkan sebagai pemproses grafik paling berkuasa, mungkin ada benarnya pada ketika itu dimana pemproses lain belum ada yang seumpamanya lagi. Tetapi yang menjadi persoalannya adakah takhta itu milik Tegra 3 lagi?. Mari kita selidik dengan lebih mendalam.
Tidak seperti Tegra 3 yang mempunyai teras ke lima yang didedikasi sebagai pemproses penjimatan bateri dan menggunakan GPU ULP-GeForce, pemproses Exynos Samsung mempunyai hanya empat teras utama yang mempunyai kuasa maksimum pemprosesan 1.4GHz dan GPU Mali – 400 yang merupakan cip yang sama digunakan pada Samsung Galaxy S II. Cip yg sama seperti Samsung Galaxy S II? jadi prestasinya adalah sama lah?. Mungkin itu persoalan yang anda tertanya-tanya. Sebenarnya jawapannya adalah tidak. Kerana Exynos empat teras ini dikatakan merupakan pemproses yang dievolusi dari pemproses exynos dua teras yang sebelumnya. Dengan teknologi pemprosesan 32nm ditambah lagi dengan teknologi high-k + metal gate LP dapat menandingi Tegra 3 yang menggunakan teknologi pemprosesan 40nm. Setiap teras pada pemproses Exynos empat teras ini dapat dijanakan secara individu bagi mengelakkan setiap teras bekerja dalam masa yang sama dimana ianya akan memberikan beban yang besar seterusnya menyebabkan penggunaan kuasa yang banyak. Sokongan kawalan memori dual-channel LPDDR2 pada Exynos juga menjadi satu kelebihan kerana Tegra 3 tidak menyokongnya. Jadi lebih banyak dan laju data dapat dipindahkan dengan sokongan memori dual-channel ini.
Hasil ujian yang dijalankan oleh laman sesawang gajet terkenal AnandTech mendapati beberapa keputusan yang saya kirakan boleh menjadi panduan kepada anda buat ketika ini berikutan kita di Malaysia belum lagi dapat menguji peranti ini sendiri.
Dalam ujian penanda aras ‘BrowserMark’ yang dilakukan bagi menguji kepantasan pelayar internet menunjukkan keputusan yang Samsung Galaxy S III meninggalkan HTC One X dengan 51672 mata!. Satu nilai perbezaan yang sangat besar. Untuk pengetahuan untuk mendapatkan keputusan ini dikatakan disamping hasil dari pemprosesan yang pantas oleh pemproses itu sendiri, Samsung perlu melakukan talaan yang teliti bagi mendapatkan keputusan yang hebat ini.
Satu ujian lagi yang ingin saya tunjukkan disini ialah ujian GPU antara HTC One X dan juga Samsung Galaxy S III ini. Menurut laman sesawang AnandTech, walaupun ujian yang dijalankan mempunyai batasan V-sync pada Samsung Galaxy S III namun keputusan setiap ujian menunjukkan telefon Samsung itu dapat memberikan keputusan melebihi HTC One X dan menghampiri keputusan telefon lain yang lebih tinggi darinya. Hasil keputusan ini menunjukkan bahawa peranti Android dari Samsung iaitu Samsung Galaxy S III ini diberikan jaminan akan dapat menjalankan permainan video akan datang yang lebih kompleks dengan lebih baik tanpa apa-apa masalah.
Konklusi
Hasil daripada ujian yang dijalankan oleh laman-laman gajet di seluruh dunia dan pemerhatian yang dijalankan oleh saya, pada pendapat saya buat ketika ini Samsung Galaxy S III layak digelar sebagai juara telefon pintar Android. Dengan kuasa pemprosesan yang terbukti kepantasannya dan juga kuasa GPU nya yang juga telah dibuktikan, telefon ini layak memegang gelaran ini sekurang-kurangnya buat masa ini. Malah sebenarnya telefon ini juga berjaya mengambil gelaran sebagai telefon pintar dengan prestasi GPU paling hebat apabila berjaya mengalahkan I Phone 4S yang memegang gelaran itu sebelum ini.
Artikel ini ialah pendapat saya tentang peranti Android terbaru ini dan saya tidak memaksa anda bersetuju dengan pendapat yang saya keutarakan. Anda berhak untuk memberi pendapat masing-masing melalui ruangan komen di bawah. Sehingga itu doakan kami berpeluang membuat ulasan tentang peranti ini jika ianya memasuki Malaysia pada awal bulan hadapan.
Sumber : Anand Tech















Artikel yg menarik.
Baru berkira-kira membeli samsung galaxy sII. Kena tunggu admin buat ulasan terperinci untuk sIII nampak gayanya. TQ.
tq..Samsung galaxy s 3 dah di review.silakan baca
http://malayandroid.com/2012/06/ulasan-samsung-galaxy-s-iii/
agak2 berapa pulak harga S III ni ye..
xsabar nak tggu early next month..
Kami anggarkan dalam 2K
terimakasih banyak atas infonya yang sangat bermanfaat, khususnya untuk saya pribadi. setidaknya dapat mengobati rasa penasaran dalam hal memilih diantara keduanya. thanks
Welcome,thanks for your comment
nk tggu iphone 5 dlu….bjya x apple pikat aty ak yg smmgnye mmbnci dorg dr dlu…
Faktor kapasiti dan replacable bateri memainkan peranan (utk aku). At least dpt cari 2nd batteri utk backup.
kiranya galaxy sIII paling mantap la ye skg ni..tolong bandingkan sIII dengan galaxy note boleh x? baru ingt nak beli note x lama lg..huhuh
S3 pemproses empat teras,note dua teras..ssh kot nk bandingkan.Kalau nk beli note better tggu note 2 yg dijangka keluar September ni. Mmg dijangka mahal la note 2 tu kalau baru keluar.tp sementara tggu 2,3 bln ni ada la masa utk shah tambah2 sikit belanjawan tu…hehe…