Semalam (13 Jun ) bertempat di KL sentral telah diadakan sidang media tentang sebuah perkhidmatan tempahan teksi dalam talian yang menggunakan aplikasi untuk telefon pintar Android yang diberi nama ‘TaxiMonger’. TaxiMonger mengendalikan tempahan teksi dan kajian dalam talian para pengguna teksi yang berdaftar dengan mereka di Malaysia. Antara ciri-ciri menarik perkhidmatan yang ditawarkan oleh TaxiMonger ini ialah para pengguna yang menggunakan perkhidmatan teksi dapat memberikan komen atau pandangan kepada pemandu-pemandu teksi (berpandukan nombor pendaftaran kereta) yang memberikan perkhidmatan pada mereka melalui aplikasi tersebut. Seterusnya segala ulasan atau pandangan tersebut anda boleh lihat di laman sesawang TaxiMonger.
Melalui aplikasi ini para pengguna hanya perlu menempah teksi melaluinya sahaja, tidak lagi melalui panggilan telefon seperti sebelum ini. Anda mempunyai pilihan untuk memilih jenis teksi yang anda inginkan seperti teksi biasa ataupun eksekutif, menempah teksi untuk dalam masa segera ataupun dalam tarikh tertentu, malah dapat memeriksa status tempahan anda pada aplikasi berkenaan juga. Selain itu, TaxiMonger juga akan mengintegrasi ciri-ciri dan fungsi aplikasi telefon pintar SecQ.me dengannya. SecQ.me, sebuah syarikat bersekutu TaxiMonger, menawarkan aplikasi telefon pintar unik yang boleh didapati melalui platform Android dan iOS yang telah dipatenkan di Malaysia dan seluruh dunia. Apabila disepadukan, pelanggan teksi yang menempah teksi dengan aplikasi TaxiMonger akan mempunyai pengawal peribadi maya memantau mereka sebaik sahaja mereka melangkah ke dalam teksi. SecQ.me juga boleh digunakan oleh pemandu teksi untuk melindungi diri mereka daripada jenayah.

Setakat ini dikatakan 46 pemandu teksi dari Saujana Teksi Berhad, SM Cab Sdn. Bhd., Zalnas Limosin Sdn. Bhd. dan Warisan Astana Sdn. Bhd telah mengambil bahagian sebagai rakan kongsi projek perintis dalam tempoh percubaan yang dikendalikan secara awam. Para pengguna berdaftar yang terdiri dari orang ramai pula setakat ini ialah seramai 1200 orang. TaxiMonger mensasarkan pengguna mereka meningkat sehingga 5000 orang sebelum 31 Disember 2012.
Sempena pengumuman ini juga, TaxiMonger akan mengadakan ”Hari Terbuka Untuk Pemandu Teksi Lembah Klang” yang akan diadakan pada 28 Jun 2012 (Khamis) di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur dari 9 pagi hingga 6 petang. Acara tersebut akan dirasmikan Tan Sri Syed Hamid Albar, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Acara ini terbuka kepada semua pemandu teksi sama ada mereka beroperasi di bawah syarikat teksi atau secara bebas.
Untuk para pemandu teksi yang ingin menyertai acara ini atau pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh hubungi :
Nizreen Noordin
Pengasas / Pembangunan Perniagaan
+60122757884
nizreen@taximonger.com
Hidayah Mazlan
Perhubungan Awam
+60196066117
dayah@taximonger.com












Saya pemandu teksi. Cm mna nak jadi ahli taximonger ney ??
Encik boleh hubungi nombor telefon yang disertakan dibawah artikel ni untuk maklumat lanjut