Sebuah telefon yang begitu banyak sekali khabar angin yang kedengaran sebelum kemunculannya. Pelbagai gambar, video, malah spesifikasi mula berlegar di internet selepas kedengaran ura-ura Samsung akan mengeluarkan telefon generasi Galaxy S selepas kejayaan Galaxy S II yang jualannya mencecah sehingga 20 juta unit. Kali ini Samsung mensasarkan jualan berkali ganda dari model itu dengan melancarkan Samsung Galaxy S III, telefon Android pertama Samsung dengan kuasa pemprosesan empat teras dan antara model terawal di dunia dengan pemproses jenis ini.
Secara jujur selepas pelancaran telefon ini di London pada 3 Mei lepas, sewaktu mula-mula kita dilihatkan dengan rupa telefon ini, saya beranggapan telefon ini sama sahaja dengan telefon-telefon Samsung yang lain. Dengan butang fizikal yang satu tu di bahagian bawah merasakan seperti Samsung tiada idea baru untuk merekabentuk rupa telefon ini supaya menjadi ‘istimewa’ dari model-model yang lain. Tapi anggapan itu berjaya ‘dipatahkan’ oleh Samsung apabila buat pertama kali saya memegangnya di acara pelancarannya di Malaysia oleh Samsung Malaysia Electronics di Hotel one World, Bandar Utama pada 24 Mei yang lepas. Sebenarnya bukan saya sahaja malah beberapa rakan yang memegang telefon itu turut merasakan kagum dengan bentuk fizikalnya. Sebenarnya apa yang mengagumkan walaupun dengan hanya memegangnya?. Jadi, teruskan membaca ulasan saya ini berkenaan telefon Android terbaru Samsung ini.

MalayAndroid.com menerima satu unit Samsung Galaxy S III berwarna putih ataupun jika merujuk kepada Samsung ianya dinamakan ‘Marble white’. Selain warna itu telefon ini juga ditawarkan dengan warna ‘Pebble Blue’. Terlebih dahulu mari kita lihat spesifikasi telefon ini.
| Rangkaian | GSM 850 / 900 / 1800 / 1900 | |||
| HSDPA 850 / 900 / 1900 / 2100 | ||||
| Saiz | 136.6 x 70.6 x 8.6 mm | |||
| Berat | 133 g | |||
| Skrin | Super AMOLED Skrin sentuh kapasitif, 16 juta warna, Corning Glass 2 | |||
| 720 x 1280 piksel, 4.8 inci (~306 ppi) | ||||
| Sokongan Memori Tambahan | microSD, Sehingga 64 GB | |||
| Memori dalaman | 16/32/64 GB storage, 1 GB RAM | |||
| GPRS | Class 12 (4+1/3+2/2+3/1+4 slots), 32 – 48 kbps | |||
| EDGE | Class 12 | |||
| Kelajuan | HSDPA, 21 Mbps; HSUPA, 5.76 Mbps | |||
| WLAN | Wi-Fi 802.11 a/b/g/n, DLNA, Wi-Fi Direct, Wi-Fi hotspot | |||
| Bluetooth | Ya, v4.0 with A2DP, EDR | |||
| NFC | Ya | |||
| USB | Ya, microUSB v2.0 (MHL), USB | |||
| Kamera Belakang | 8 MP, 3264×2448 piksel, autofokus, LED,Rakaman gambar dan video pantas, geo-tagging, fokus dengan sentuhan, Pengesan muka dan senyuman, rakaman video 1080p@30fps | |||
| Kamera Depan | 1.9 MP, rakaman video 720p@30fps | |||
| OS | Android OS, v4.0.4 (Ice Cream Sandwich) | |||
| CPU | Exynos 4212 Quad-core 1.4 GHz Cortex-A9 | |||
| GPU | Mali-400MP | |||
| Sensor | Accelerometer, gyro, sensor RGB, proximity, kompas, barometer | |||
| Mesej | SMS, MMS, Email, Push Mail, IM, RSS | |||
| Pelayar internet | HTML, Adobe Flash | |||
| Radio | Stereo FM radio dengan RDS | |||
| GPS | Ya, Sokongan A-GPS dan GLONASS | |||
| Java | Ya, via Emulator Java MIDP | |||
| Warna | Pebble blue, Marble white | |||
| Bateri | Li-Ion 2100 mAh | |||
| Masa Sedia | Sehingga 590 jam (2G) / sehingga 790 jam (3G) | |||
| Masa Bercakap | Sehingga 21 jam 40 min (2G) / Sehingga 11 jam 40 min (3G) | |||

Dari kiri : Set fon telinga, penyumbat telinga bagi set fon, kabel mikroUSB( Kabel pengecas), kad waranti, pengecas dan bateri. Kanan sekali : Samsung Galaxy S III (marble white)
Jika dilihat dari kotak telefon ini ianya kelihatan biasa-biasa saja. Berwarna putih kosong tanpa apa-apa corak dan sebagainya dengan tulisan ‘Samsung Galaxy S III’ diluar dengan saiz kotak yang muat-muat mengikut saiz telefon berkenaan nampak ringkas sahaja (Tidak salah saya jika anda memilih warna ‘Pebble blue’, kotaknya bewarna hitam). Didalamnya terdapat seunit telefon Samsung Galaxy S III bewarna ‘Marble white’ ataupun putih diruangan bahagian atas sekali. Apabila dibuka dibahagian bawah terdapat seunit manual yang dikumpul bersama dengan kad waranti. Selain itu disertakan juga seunit alat bebas tangan (earphone) berwarna putih, kabel USB, seunit pengecas dengan ‘clip on’ plag tiga pin, bateri dan 3 set penyumbat telinga bagi set fon telinga/bebas tangan.
Ciri Fizikal/Rekabentuk
Pertama kali mengangkatnya terasa ringan sekali. Oh! baru saya sedar, bateri belum dimasukkan lagi
. Tetapi buat pengetahuan pembaca, walaupun telefon ini telah dimasukkan bateri, masih terasa ringan dan dengan saiz fizikal 136.6 x 70.6 x 8.6 mm, telefon ini terasa nipis. Tetapi jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy S II, berat telefon itu lebih ringan lagi kerana Samsung Galaxy S III seberat 133g manakala Galaxy S II hanya 116g. Namun oleh kerana telefon ini lebih lebar dan belakangnya adalah rata tidak seperti Galaxy S II, ianya terasa lebih nipis. Selepas memasukkan bateri telefon ini dihidupkan buat pertama kali dengan rasminya. Dengan skrin bersaiz 4.8 inci terasa puas sekali melihatnya. Bertambah menarik kerana ianya menggunakan skrin Super AMOLED HD dari Samsung yang terkenal dengan kualiti gambar cantik dan terang yang ditawarkan.Walaupun saiz skrinnya besar tetapi saiz telefon ini adalah lebih kurang sama besarnya dengan telefon Galaxy Nexus yang mempunyai saiz skrin 4.65 inci. Galaxy Nexus bersaiz 135.5 x 67.9 x 8.9 mm dengan berat 135g.

Gambar perbandingan Galaxy Nexus (atas), Samsung Galaxy S 3 (tengah) dan Samsung Galaxy S 2 (bawah). – Gambar ihsan GSM Arena
Badan telefon ini dibuat daripada plastik polikarbonat. Bahagian penutup belakang untuk menutup bateri sangat nipis. Terdapat perkataan ‘Samsung’ disitu yang timbul dan dapat dirasa dengan jari, bukan jenis cat .Sewaktu membuka penutup tersebut anda perlu berhati-hati dikhuatiri ianya patah. Di sekeliling telefon ini dikelilingi bezel bewarna ‘silver’ yang menampakkan kelainannya dari model lain telefon Samsung sebelum ini.

1. Set SGS3, 2. Pandangan atas depan 3. Butang ‘Power ON/OFF’ 4. Slot pengecas/USB (mikroUSB) 5. Kawalan bunyi 6. Slot fon telinga 7. LED, lensa kamera & pembesar suara 8. Sensor & lensa kamera depan 1.9MP
Butang ‘Power’ seperti biasa bagi kebanyakkan telefon Samsung berada disebelah kanan atas. Bahagian bawah pula terdapat port masuk bagi pengecas ( microUSB ) yang sekaligus adalah ruangan untuk kabel USB juga. Di bawah ini juga kedudukan mikrofon dimana anda boleh lihat terdapat lubang kecil disitu. Bahagian kiri telefon ini pula ialah butang kawalan bunyi ataupun ‘Volume rocker’. Bahagian atas pula hanya terdapat lubang untuk fon telinga/bebas tangan. Bahagian belakangnya pula terletak lampu denyar LED bagi kamera di bahagian kiri, lensa kamera dengan resolusi maksimum 8 Megapiksel di tengah dan lubang pembesar suara di sebelah kanan lensa kamera.
Butang fizikal untuk ‘Home’ pada telefon ini saya rasakan sangat menarik. Bentuknya tidak lagi nampak ‘empat segi’ sangat seperti pada telefon Samsung yang lain. Kali ini ianya lebih lebar dan kecil sahaja saiznya. Butang ini hanya sedikit saja timbul dari permukaan dan kelilingnya mempunyai warna ‘silver’ menampakkan bentuknya yang kecil dan kemas.
Buat pengetahuan pembaca juga, telefon ini mempunyai ‘Notifications LED’ berwarna hijau, biru dan merah yang tidak kelihatan secara fizikal di bahagian atas kiri depan telefon ini sebagai tanda pada anda untuk pemberitahuan.
Perisian/aplikasi
Telefon ini menggunakan versi Android 4.0 ( Ice Cream Sandwich). Jadi seperti biasa terdapat ciri-ciri versi Android ini yang kita boleh dapati. Ianya juga menyokong fungsi ‘Face To Unlock’ untuk mengaktifkan telefon ini. Anda juga dapat melihat ruangan ‘widgets’ pada ‘menu drawer’ dan juga ‘task manager’ versi ICS.
Terdapat aplikasi yang biasa yang disertakan pada telefon Samsung iaitu aplikasi ‘S Suggest’, iaitu aplikasi dimana Samsung akan menyenaraikan aplikasi-aplikasi pilihan mereka. Ianya seperti ‘Google Play’ versi Samsung. Aplikasi ‘S Memo’ pula adalah aplikasi yang terdapat di Samsung Galaxy Note iaitu aplikasi dimana anda boleh menyediakan memo dengan lakaran dan bunyi tidak terhad kepada nota sahaja. ‘Chat ON’ pula dikatakan ‘messenger’ versi Samsung untuk telefon mereka. Pada paparan skrin ‘unlock’, terdapat ruangan ‘information ticker’ yang memaparkan berita atau laporan saham pilihan anda.
Samsung Galaxy S III menggunakan skrin Super AMOLED HD dengan saiz skrin 4.8 inci beresolusi 720×1280 piksel. Ketumpatan piksel pula ialah 306ppi. Ini adalah kurang sedikit daripada Galaxy Nexus yang mempunyai ketumpatan piksel 316ppi namun ianya jauh melebihi Samsung Galaxy S II yang hanya mempunyai ketumpatan piksel 217ppi. Untuk pengetahuan pembaca, ketumpatan piksel yang tinggi adalah lebih baik.
Paparan skrin sangat terang dan tajam. Terima kasih pada teknologi Super AMOLED dari Samsung. Telefon ini berkeupayaan memainkan paparan gambar/video sehingga Full HD 1080p. Dengan skrin yang dapat memaparkan gambar yang cantik ditambah lagi dengan keupayaan memaparkan gambar Full HD 1080p, pengalaman menonton video di telefon ini benar-benar memuaskan hati.
Skrin telefon ini juga diperkuatkan lagi dengan teknologi anti calar ‘Corning Gorilla Glass 2′. Apa yang membezakan skrin ini dengan skrin ‘Corning Gorilla Glass’ yang asal yang terdapat pada Samsung Galaxy S II ialah dikatakan ketebalan skrin yang lebih baru ini adalah 20% lebih nipis dari yang asal tetapi dengan ketahanan yang sama. Mungkin disebabkan penggunaan skrin ini juga telefon ini kelihatan nipis. Sentuhan pada skrin ini terasa begitu halus. Anda tidak dapat mengalami perasaan ini jika anda pasangkan pelindung skrin diatasnya. Tetapi mengikut pemerhatian saya selepas beberapa hari menggunakan telefon ini, walaupun ianya dilengkapi dengan skrin ‘Corning Gorilla Glass 2′, didapati terdapat juga calar-calar halus yang kelihatan jika diperhatikan dengan teliti dan untuk pengetahuan anda juga skrin ini tidak mustahil untuk pecah. Oleh itu saya nasihatkan lupakan saja ‘perasaan’ yang dirasai sewaktu menyentuh skrin ini seperti saya nyatakan diatas tadi dan lebih baik anda letakkan saja pelindung skrin sejak hari pertama anda memiliki telefon ini kelak.
Dari segi bunyi pula telefon ini saya dapati ianya menghasilkan bunyi yang kuat melalui pembesar suara kecilnya itu. Hanya terdapat satu sahaja tempat keluaran bunyi bermakna bunyinya bukan dengan kualiti stereo. Jika anda biasa meletakkan telefon didalam poket, sila elakkan meletakkan telefon dengan cara yang boleh menyebabkan keluaran pembesar suara dihalang bagi mengelakkan bunyi telefon menjadi perlahan.
Hiburan
1. Pemain Muzik
Antaramuka pemain muzik pada telefon ini boleh dikatakan lebih kurang sama dengan pemain muzik pada telefon Android Samsung yang pernah saya ulas sebelum ini. Namun apa yang menarik perhatian saya ialah saya terjumpa satu pilihan pada aplikasi ini iaitu ‘SoundAlive’ yang memberikan pilihan jenis bunyi (equalizer) yang tidak pernah saya lihat sebelum ini pada telefon Samsung ( mungkin anda pernah ) iaitu pilihan keluaran bunyi ‘Virtual 7.1’. Malahan pada tablet Samsung Galaxy Tab 7.7 yang saya ulas sebelum ini juga hanya terdapat pilihan ‘5.1 Channel’. Beberapa pilihan kualiti bunyi di pemain muzik ini hanya akan boleh diaktifkan jika anda menggunakan set fon telinga sahaja termasuk keluaran bunyi ‘Virtual 7.1’ yang saya nyatakan tadi. Kualiti bunyi pada fon telinga saya rasakan ianya sangat baik. Ditambah lagi dengan pelbagai pilihan jenis keluaran bunyi, ianya sangat sesuai kepada sesiapa yang gemar mendengar muzik pada telefon. Anda juga boleh memainkan muzik dari komputer anda atau peranti lain yang menyokong perkongsian dalam satu rangkaian (WiFi) pada telefon ini.
2. Pemain Video
Perkara pertama yang menarik perhatian saya pada pemain video Samsung Galaxy S III ialah antaramuka sewaktu anda memasuki aplikasi ini iaitu pada senarai video. Buat pengetahuan pembaca, senarai video pada pemain video telefon ini memaparkan prebiu bergerak. Setiap koleksi video anda akan bergerak walaupun anda belum lagi membukanya. Sangat memudahkan anda mengingati kembali video berkenaan mengenai apa walaupun anda belum lagi membukanya. Garisan biru pada prebiu itu pula menunjukkan anda telah menonton setakat mana video tersebut.
Sewaktu anda sedang memainkan video, tiada masalah langsung untuk melangkau atau memilih mana-mana babak dengan menggunakan penggaris masa nya. Namun untuk pemain video, tiada pilihan untuk memilih jenis keluaran bunyi. Hanya terdapat pilihan asas seperti kawalan kecerahan dan juga ‘colour tone’ dimana anda boleh memilih untuk pilihan normal, warm ataupun cold. Pemain video ini juga menyokong paparan sarikata seperti format .srt .
3. Kamera
i . Gambar Statik
Terdapat pilihan resolusi 6MP, 3.2MP, 2.4MP, 0.9MP dan 0.3MP bagi anda pilih untuk rakaman gambar statik pada telefon ini. Saya tidak pakar didalam meneliti kualiti gambar. Bagi pandangan saya hasil gambar pada telefon ini sangat memuaskan bagi pengguna biasa. Anda boleh memilih untuk mengambil gambar secara biasa ‘single shot’ ataupun ‘burst shot’ dimana anda dapat mengambil gambar 8 shot atau 20 shot sekaligus dengan satu klik. Terdapat juga pilihan lain seperti panorama,smile shot dan HDR. Di bawah ini ialah contoh gambar yang dihasilkan. Sila klik pada gambar untuk melihat saiz sebenar. Dengan teknologi ‘zero shutter lag’ anda boleh terus mengambil gambar sebaik sahaja anda masuk ke aplikasi kamera. Anda juga dapat ambil gambar seterusnya dengan cepat.
ii. Video

Kualiti rakaman video pula saya rasakan sangat jelas. Anda dapat merakam video dengan kualiti Full HD 1080p dengan format mp4. Untuk pengetahuan anda, sewaktu anda sedang merakam video, anda juga boleh mengambil gambar statik dalam waktu yang sama tanpa masalah. Anda mempunyai pilihan untuk merakam video dengan kualiti 1080p, 720p, 480p, kualiti VGA (640×480) atau sekecil 320×240 piksel.
4.Radio
Jika anda suka mendengar radio, saya rasakan telefon ini juga sesuai untuk anda. Apa yang menarik aplikasi radio telefon ini menyokong paparan RDS ( Radio Data System ). Selain itu ianya juga boleh merakam bunyi dari siaran radio yang anda dengar juga. Jangan risau dengan bunyi sekeliling yang bising atau suara anda sendiri kerana fungsi rakaman ini hanya merakam bunyi radio tersebut sahaja. ( Sila rujuk video Ulasan kami ).
Ciri-ciri khas/istimewa
1. Smart Stay

Ciri terbaru ini menggunakan kamera hadapan sebagai medium input bagi kawalannya yang seterusnya mengawal kecerahan skrin paparan telefon ini secara automatik. Ianya sebenarnya mengesan mata anda. Akan terdapat lambang mata pada ruangan atas ‘notifications’ sewaktu ciri ini aktif. Saya dapati ianya kadang-kadang tidak begitu berkesan tambah-tambah lagi dalam keadaan kurang cahaya. ( Sila rujuk video ulasan kami ).
Sewaktu anda sedang menonton video di telefon ini, tiba-tiba ada pesanan ringkas ataupun emel masuk. Jika anda tidak mahu keluar dari terus menonton video anda, anda boleh mengaktifkan ciri ini yang terdapat pada penjuru kanan bawah skrin video yang anda sedang mainkan. Selepas diaktifkan video anda akan menjadi kecil dan berada diatas ( pop up ) apa-apa aplikasi pun yang anda buka. Tambahan lagi pemain mini tersebut turut boleh dialih-alih kemana-mana yang anda suka di atas skrin. ( Sila rujuk video ulasan kami )
3. Arahan berdasarkan gerakan ( Motion )
Bagi ciri ini banyak fungsi anda boleh aktifkan. Antaranya yang biasa kita akan gunakan ialah mengambil gambar skrin telefon ( capture screen ). Jika dengan telefon Samsung atau Android sebelum ini anda biasa mengambil gambar dengan menekan beberapa kombinasi butang ataupun dengan menekan butang untuk tangkap, tidak dengan telefon ini kerana ianya menggunakan satu cara unik iaitu anda hanya perlu lapkan (swipe) saja tangan anda pada skrin telefon ini. ( sila rujuk video ulasan ).
Selain itu ada juga fungsi dail automatik hanya dengan mengangkat telefon ke telinga, contohnya jika anda sedang membaca pesanan ringkas orang berkenaan dan anda ambil keputusan untuk menelefonnya, anda hanya perlu angkat terus Samsung Galaxy S III ini ke telinga anda. Secara automatik anda akan terasa telefon itu begegar sebagai tanda ianya sedang mendail nombor orang berkenaan. Fungsi ini diberi nama ‘Direct call’.
4. S Voice
S Voice pula ialah satu aplikasi dimana anda boleh memberikan arahan atau bertanyakan soalan pada telefon anda. Contohnya soalan tentang cuaca esok ataupun anda juga boleh berikan arahan untuk telefon ini menetapkan peringatan jam untuk anda hanya dengan arahan suara. Anda juga boleh membuka aplikasi dengan arahan suara. Apa yang menarik anda juga boleh berikan nama pada telefon anda untuk dipanggil. Namun aplikasi ini menyokong hanya 8 bahasa ketika ini tidak termasuk bahasa Malaysia.
Prestasi dan konklusi.
Berikut merupakan keputusan-keputusan ujian yang saya jalankan untuk Samsung Galaxy S III :-
Terbukti dari ujian ‘benchmark’yang dijalankan menunjukkan telefon terbaru Samsung ini mampu menandingi telefon Android dari jenama lain. Namun dari segi prestasi bateri, bagi pengguna yang banyak menggunakan data, banyak melayari internet dan media sosial di telefon, walaupun dengan bateri 2100mAh dirasakan ianya masih tidak mencukupi. Namun ianya dapat bertahan lebih lama dari model-model telefon sebelum ini yang menggunakan kapasiti bateri yang lebih kecil. Malah telefon saya yang menggunakan bateri dengan kapasiti 1230mAh terpaksa dicas dua kali sehari. Bateri merupakan masalah yang lazim bagi telefon pintar. Dengan Samsung Galaxy S 3 berpandukan cara penggunaan saya, ianya dapat bertahan sehingga hampir 15 jam dengan penggunaan yang banyak data dimana saya banyak menggunakan Facebook, memeriksa emel dan twitter. Namun ujian ini sangat subjektif bagi individu, jadi apa yang boleh saya katakan ialah dengan bateri yang lebih besar kapasitinya secara teorinya maka sudah tentulah sepatutnya telefon ini akan bertahan dengan lebih lama.
Telefon ini telah berada di pasaran Malaysia bermula 31 Mei 2012 dan dijual dengan harga runcit RM2199. Anda boleh mendapatkannya dengan pelan telekomunikasi dari Maxis, DiGi dan Celcom dengan harga yang lebih murah.






































good review..skang malaysian pon leh wat review dah,keep it up bro!
TQ