Aplikasi Android Cetak Rompak, Apa Kesudahannya?

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan terbuka dari pembangun aplikasi MadFinger yang kecewa dengan kadar cetak rompak yang tinggi pada platform Android. MadFinger mengambil langkah menawarkan permainan paling popular mereka – “Dead Trigger” secara percuma di Google Play selepas mendakwa kadar cetak rompak permainan tersebut mencecah 80%. Saya pada dasarnya kurang bersetuju dengan tindakan MadFinger tersebut kerana seolah-olah menghukum pengguna yang sanggup mengeluarkan duit untuk membeli permainan tersebut pada awalnya. Tiada siapa yang menang dan untung dalam situasi ini kecuali penyokong cetak rompak.

Apa yang MadFinger wajar lakukan adalah mengemaskini permainan mereka dengan lebih kerap kerana dengan setiap kemaskini pengguna cetak rompak terpaksa mencari dan mengemaskini fail yang baru secara manual, ini sekurang-kurangnya menyukarkan kerja mereka. MadFinger juga boleh mengambil beberapa langkah tambahan seperti semakan lesen (license checking), atau sekiranya mereka ingin menawarkan permainan secara percuma sila lakukan dari mula lagi.

Kenapa Ia Berlaku?

Kes MadFinger mungkin hanya salah satu contoh kes yang berlaku, sebenarnya isu aplikasi/permainan cetak rompak telah lama diperkatakan dan ianya bukan sahaja berlaku dalam dunia Android. Platform lain juga turut berhadapan dengan masalah yang sama namun ianya lebih ketara berlaku di platform Android mungkin kerana sifatnya yang lebih terbuka.

Selain dari sifatnya yang terbuka, faktor-faktor lain adalah harga yang ditawarkan oleh pembangun perisian yang kadang kala terlalu mahal. Terdapat beberapa aplikasi yang ditawarkan dengan harga mencecah puluhan USD dan ini sangat membebankan pengguna. Nilai matawang yang berbeza-berbeza turut menyebabkan harga yang ditawarkan kadang kala tidak kompetitif di sesetengah negara.

Masalah kekangan pasaran (market restriction) turut menyumbang kepada isu cetak rompak. Setakat ini masih terdapat banyak negara yang belum boleh membuat pembayaran melalui Google Play, malah di Malaysia kita hanya boleh membuat pembelian hanya bermula May 2011. Bagi pengguna yang duduk di negara yang belum menyokong aplikasi berbayar mereka tiada pilihan sebaliknya terpaksa mendapatkan aplikasi dan permainan menerusi sumber-sumber yang tidak sah. Selain itu, pilihan jenis pembayaran yang terhad kepada Google Wallet sahaja turut menjadi faktor. Pengguna Android lazimnya terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan remaja yang selalunya tidak mempunyai kemudahan kad kredit dan ini menyukarkan mereka untuk membeli aplikasi secara sah.

Kesan Buruk Kepada Platform Android

Isu cetak rompak sebenarnya merugikan kedua-dua pihak samada pengguna mahupun pembangun aplikasi. Pembangun aplikasi kerugian ribuan dan jutaan ringgit akibat tidak dibayar dan perisian mereka dicuri. Pembangun aplikasi akhirnya akan kurang berminat untuk membangunkan aplikasi atau permainan untuk Android, kurangnya pilihan aplikasi dan permainan, aplikasi yang kurang berkualiti, dan akhirnya akan merugikan pengguna Android itu sendiri.

Apa Tindakan Yang Boleh Diambil?

Bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah ini? Disinilah pentingnya kesedaran pengguna untuk menggunakan aplikasi dan permainan yang asli, setiap perisian yang dibangunkan merupakan satu usaha dan kerja yang perlu dibayar. Mereka mengeluarkan idea, menggunakan pengetahuan dan kepakaran mereka, serta menghabiskan masa mereka untuk membangunkan sesebuah perisian. Untuk menyiapkan satu permainan 3D yang kompleks mungkin memerlukan puluhan malah ada yang mencecah ratusan ahli pasukan, terdiri daripada pengaturcara, perekabentuk, jurutera perisian, dan sebagainya.

Selain itu, saya berharap agar Google dapat meluaskan lagi akses aplikasi berbayar kepada lebih banyak negara. Google juga perlu mencari jalan untuk menerima lebih banyak pilihan jenis pembayaran, ataupun bekerjasama dengan pengendali rangkaian (telco) supaya aplikasi atau permainan di Google Play boleh dibeli melalui potongan kredit dan sebagainya.

Harga yang mahal sebenarnya bukan punca isu aplikasi android cetak rompak, dalam kes MadFinger pembangun aplikasi sudah menurunkan harga kepada USD 0.99 (sekitar RM 3.00) sahaja namun kenapa anda masih memilih untuk menggunakan aplikasi cetak rompak? Sama-sama kita fikirkan. – Azbahri (Ikuti saya di Google+ http://gplus.my/me)

Anda juga mungkin berminat untuk membaca:

Pengaturcara dan pembangun sistem, khususnya sistem berasaskan web. Juga melakukan kerja-kerja rekabentuk grafik. Mempunyai minat yang mendalam terhadap platform Android dan juga ekosistem Google secara keseluruhannya. Peranti semasa: Samsung Galaxy Nexus, Asus Nexus 7, HTC Nexus One, Motorola Xoom, Blackberry Playbook