Anda tidak sabar-sabar lagi ingin mengemaskini peranti Android anda ke Android 4.1 (Jelly Bean)?. Jelly Bean sememangnya ditunggu-tunggu tetapi adakah anda tahu bermula dengan kemaskini Android terbaru itu, penggunaan Flash pada pelayar internet Android anda tidak lagi disokong padanya seperti yang diumumkan oleh Adobe sebelum ini sekitar November tahun lepas.
Baru-baru ini Adobe telah mengeluarkan sekali lagi kenyataan kepada perkara itu dan memberikan amaran kepada pengguna-pengguna Android. Menurut Adobe, anda hanya boleh memasang aplikasi Adobe Flash dan mengimplementasinya pada pelayar internet anda jika anda menggunakan Android 4.0 ke bawah. Jika anda menggunakan Android 4.1 ke atas ianya tidak berfungsi sama sekali ataupun mungkin ianya berfungsi secara tidak sepatutnya.
Adobe dikatakan mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini berikutan tumpuan mereka beralih kepada Flash bagi penggunaan komputer biasa dan tumpuan kepada aplikasi telefon yang menggunakan Adobe Air.
Bermula 15 Ogos ini, Adobe mengumumkan mereka akan menggunakan Google Play untuk menghalang akses kepada aplikasi Flash mereka dan kemaskini aplikasi itu seterusnya. Bermakna selepas tarikh itu, mereka hanya akan memberikan kemaskini kepada peranti-peranti Android yang disokong yang tersenarai pada senarai mereka dan peranti yang sedia ada telah dipasang dengan aplikasi mereka terlebih dahulu.
Anda boleh memeriksa senarai peranti Android dengan sokongan Flash dari senarai Adobe pada link di sini.










