Sudah agak lama saya tidak menulis sebarang artikel di blog ini kerana agak sibuk dengan komitmen tugasan harian, tapi pada hari ini saya meluangkan sedikit masa untuk menulis sedikit ulasan Android 4.1 Jelly Bean pada Samsung Galaxy Nexus. Untuk makluman, kemaskini rasmi Jelly Bean untuk Samsung Galaxy Nexus hanya akan keluar pada pertengahan Julai nanti dan apa yang saya tunjukkan dalam ulasan kali ini cuma versi previu yang diedarkan oleh Google semasa acara Google I/O 2012 baru-baru ini. Saya terpaksa root Galaxy Nexus saya untuk mengemaskini kepada Jelly Bean ini secara manual.
Untuk memudahkan pemahaman pembaca, saya tidak akan mengulas panjang lebar sebaliknya saya akan senaraikan setiap ciri-ciri satu persatu.
Ciri-ciri baru yang terdapat dalam Jelly Bean:
1. Unlock Screen

Google melakukan sedikit modifikasi pada skrin nyah-kunci dalam Jelly Bean, iaitu tambahan menu baru “Google” pada bahagian atas bulatan, ia merupakan shortcut kepada fungsi baru “Google Now” yang akan saya terangkan kemudian nanti. Juga terdapat penambahbaikan terhadap fungsi nyah kunci berasakan muka (face unlock) yang kini mempunyai ciri-ciri untuk mengesan kelipan mata (eye blink) untuk menjadikannya lebih selamat.
2. Google Now
Google Now adalah satu perkhidmatan yang membenarkan anda membuat carian ataupun arahan ringkas dalam bentuk suara melalui peranti anda. Google Now direka supaya lebih memahami kehendak pengguna dengan memaparkan informasi yang berguna berdasarkan masa, lokasi, dan juga sejarah/rekod carian atau penggunaan sebelumnya. Setakat ini fungsi ini belum lagi menyokong penggunaan Bahasa Malaysia, namun berdasarkan percubaan saya ia dapat mengesan hampir 100% tepat arahan-arahan yang saya sebutkan dalam Bahasa Inggeris. Pertanyaan umum seperti “Do I need an umbrella tomorrow?” dan “What is the time now?” dijawap dengan begitu tepat dan pantas.
![]() |
![]() |
Selain pertanyaan, Google Now juga boleh melaksanakan arahan-arahan ringkas. Sebagai contoh, arahan “Show me a picture of Kuala Lumpur” akan memaparkan koleksi gambar berkaitan Kuala Lumpur. Arahan ringkas seperti “Text Akmal, Where are you now?” akan mengaktifkan paparan kad kenalan tersebut serta bersedia untuk menghantar sms kepada beliau.
![]() |
![]() |
3. Notifikasi
Penambahbaikan pada paparan notifikasi dalam Jelly Bean, kini memaparkan notifikasi yang lebih lengkap (rich in contents). Sebagai contoh, notifikasi email kini akan dipaparkan terus bersama kandungan email tersebut. Notifikasi muatnaik segera (instant upload) pula akan dipaparkan bersama-sama dengan previu gambar tersebut. Ini bermakna pengguna boleh mendapat lebih banyak info daripada ruangan notifikasi tanpa perlu membuka sesuatu applikasi. Kemudahan ini sangat berguna kepada pembangun aplikasi dimana mereka boleh memanfaatkan kemudahan ini untuk memaparkan notifikasi lebih berguna.
4. Kamera
Sedikit penambahbaikan dalam fungsi kamera, kini ia membenarkan anda mengambil gambar (still photo) semasa rakaman video sedang dijalankan, anda hanya perlu tap pada imej video untuk mengambil gambar pada masa itu dan dalam masa yang sama rakaman video masih berjalan dan tidak terjejas.
5. Homescreen
![]() |
![]() |
Tetapan koordinasi ikon dan wiget kini lebih fleksibel, semasa anda ingin menambah ikon atau wiget baru pada ruangan homescreen yang telah dipenuhi atau telah digunakan, wiget/ikon sedia ada di ruangan tersebut akan berganjak secara automatik untuk memberi ruang kepada wiget/ikon baru yang anda ingin letak. Sangat berguna bagi saya.
6. Lebih Pantas dan Lancar
Mungkin naiktaraf yang paling utama dalam Android 4.1 (Jelly Bean) adalah dari segi kelajuan dan juga kelancaran pada sistem pengoperasian Android itu sendiri. Saya telah menggunakan Android 4.0 (Ice Cream Sandwich) lebih dari setengah tahun, selama ini saya secara peribadi menganggap Android 4.0 (Ice Cream Sandwich) yang paling laju dan lancar namun Jelly Bean membuktikan bahawa Android sebenarnya boleh memberikan pengalaman yang jauh lebih baik. Tidak keterlaluan kalau saya katakan Android terbaru ini sudah setanding dengan kelancaran dan kelajuan sistem pengoperasian iOS pada iPhone dan juga iPad, ini mungkin akan memberi cabaran kepada Apple yang selama ini dianggap sebagai sistem pengoperasian mudah alih paling lancar.
Ok, setakat itu sahaja ulasan Android 4.1 Jelly Bean pada Samsung Galaxy Nexus buat masa ini. Nantikan ulasan-ulasan lain dari saya pada masa akan datang. Anda juga boleh mengikuti saya di Google+ melalui pautan http://gplus.my/me Sekian.
















