
Samsung Galaxy Note 10.1 yang baru dilancarkan di Malaysia 5 September yang lepas kini boleh didapati di kesemua telko utama Malaysia iaitu Maxis, DiGi, Celcom dan U Mobile. Bagi yang berminat untuk mendapatkan tablet ini dengan harga disyorkan untuk jualan iaitu RM 2199 melalui pakej dari telko, berikut kami sediakan sedikit informasi tawaran pakej dari telko bagi memudahkan dan membantu anda membuat pilihan.
Maxis menawarkan tablet berkenaan dengan harga serendah RM1499 untuk pakej Internet Value Plan 75 dengan kontrak 2 tahun (24 bulan). Jika anda memilih plan Internet Value Plan 50, anda hanya perlu membayar tablet berkenaan dengan harga diskaun RM1699. Untuk mereka yang inginkan kontrak yang lebih singkat 12 bulan, anda perlu membayar RM1799 untuk Internet Value Plan 50 dan RM1699 untuk Internet value Plan 75. Pakej Internet Value Plan ialah pakej baru yang menyediakan kuota data 1.5GB untuk pakej Internet Value Plan 50 (IVP50) dan kuota 3.5GB untuk Internet Value Plan 75 (IVP75). Untuk pengetahuan anda juga 50 dan 75 itu adalah kadar bayaran bulanan tetap anda tidak termasuk caj panggilan dan SMS. Kadar panggilan suara dan SMS pula dicaj berasingan bergantung kepada penggunaan pengguna. Maxis juga mengenakan bayaran deposit bagi tablet ini dimana ianya akan dipulangkan kembali kepada anda melalui rebat bil bulanan anda.
DiGi juga turut tidak ketinggalan di dalam persaingan ini apabila menawarkan empat pilihan pakej kepada pengguna iaitu DG Smart Plan 48 (1GB), DG Smart Plan 68 (3GB), DG Smart Plan 88 (5GB) dan DG Smart Family (300MB). Melalui DG Smart Plan 48 anda dikehendaki membayar untuk tablet sebanyak RM1699 untuk kontrak 24 bulan dan RM1849 untuk kontrak 12 bulan. Manakala bagi pakej DG Smart Plan 68 pula anda perlu membayar untuk tablet sebanyak RM1499 untuk kontrak 24 bulan dan RM1749 untuk kontrak 12 bulan. Untuk penjimatan yang terbanyak bagi harga tablet sehingga RM900 tetapi komitmen bulanan yang sedikit tinggi (RM88), anda boleh memilih untuk pakej DG Smart Plan 88 yang dimana untuk mendapatkan tablet berkenaan anda perlu membayar hanya RM1299 untuk kontrak 24 bulan dan RM1649 untuk kontrak 12 bulan. DiGi turut menawarkan pakej DG Smart Family yang menawarkan bulanan rendah RM28 dengan kuota data hanya 300MB. Untuk pakej ini anda perlu membayar RM1999 untuk kontrak 24 bulan dan RM2099 untuk kontrak 12 bulan. Namun terdapat bayaran pendahuluan yang bergantung kepada pakej yang anda pilih untuk pakej-pakej dari syarikat telekomunikasi ini dimana ianya akan dipulangkan semula melalui rebat.
Celcom juga menawarkan tablet ini dengan tawaran pakej yang tidak kurang menarik. Ianya ditawarkan dengan harga serendah RM1388 bagi yang memilih untuk pakej Celcom First Data Advance + Voice (RM98) dengan kuota data 6GB untuk kontrak selama 24 bulan. Untuk kontrak 12 bulan pula anda perlu membayar RM1638. Untuk pakej Celcom First Data Basic + Voice (RM68) pula, anda perlu membayar RM1788 untuk tablet bagi kontrak 12 bulan dan RM1588 untuk kontrak 24 bulan. Terdapat satu lagi pilihan pakej untuk bulanan yang lebih rendah iaitu Celcom First Data Lite + Voice (RM48) dimana untuk tablet anda dikehendaki membayar sebanyak RM1888 untuk kontrak 12 bulan dan RM1738 untuk kontrak 24 bulan. Terdapat juga kos pendahuluan untuk anda ambil kira sewaktu melanggan pakej dari celcom ini.
U Mobile juga turut menjadi rakan Samsung di dalam tawaran Samsung Galaxy Note 10.1 ini. mereka menawarkan tablet berkenaan dengan harga serendah RM1439 untuk pakej U88 dengan 3GB kuota data dan RM1639 untuk pakej U68 dengan 2GB kuota data. Tetapi berlainan dengan pakej yang ditawarkan olej telko yang lain, bersama U mobile anda boleh membuat pilihan untuk membayar secara ansuran bulanan RM164/bulan untuk bayaran 12 bulan untuk pakej U88 dan RM166/bulan untuk 12 bulan untuk pakej U58. Tetapi kontrak untuk pakej yang anda langgan adalah 24 bulan (Bayaran selepas 12 bulan adalah RM88/RM68). Terdapat juga pakej Broadband Bundle yang menawarkan kuota data sehingga 20GB dengan dengan bayaran bulanan RM183/bulan untuk 12 bulan dan pakej ini merupakan kontrak juga selama 24 bulan ( RM128/bulan untuk bayaran selepas 12 bulan ). Untuk pakej ini harga tablet adalah RM2199. Seperti juga telko lain, terdapat juga bayaran pendahuluan yang anda perlu ambil kira.
Di harap artikel ini membantu anda memilih pakej yang ditawarkan oleh semua telko yang terlibat bergantung kepada kemampuan dan keperluan anda. Untuk maklumat penuh berkenaan pakej-pakej ini sila ke laman sesawang mereka.
Sumber : Maxis, DiGi, Celcom dan U Mobile.













