Pada 15 Ogos yang lepas, Samsung telah mengumumkan tablet Galaxy Note 10.1 baru mereka di Amerika Syarikat secara rasminya sekaligus melancarkan tablet berkenaan. Berita tentang kehadiran tablet ini diumumkan buat pertama kalinya pada WMC 2012 (World Mobile Congress) pada awal tahun ini. Setelah ianya telah diumumkan dan dilancarkan untuk pasaran luar, kali ini giliran Samsung Malaysia pula melancarkan tablet ini buat pasaran negara ini.
Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, mari kita lihat spesifikasi bagi tablet ini.
Spesifikasi Samsung Galaxy Note 10.1 (N 8000)
| Dimensi | 262 x 180 x 8.9 mm |
|---|---|
| Berat | 600g |
| Warna | Pearl White, Grey White |
| Pembesar Suara | Stereo |
| Saiz Skrin | 10.1 inci |
| Jenis Skrin | LCD |
| Resolusi | 1280×800 |
| PPI | 149 |
| Jenis Skrin Sentuh | Dual-digitizer |
| Skrin Sentuh Pelbagai Bilang | Ya |
| Versi Android | Android 4.0 (Ice Cream sandwich) |
| Antaramuka | TouchWiz |
| Media streaming | DLNA, AllShare |
| Kelajuan Pemproses | 1.4 GHz, Empat Teras Exynos 4412 |
| RAM | 2 GB |
| Memori Dalaman | 16 GB,Sokongan memori tambahan MicroSD sehingga 64GB |
Sambungan
| 3G | Ya |
|---|---|
| GSM | 1900, 1800, 900, 850 |
| UMTS / HSPA | 2100, 1900, 900, 850 |
| WWAN | UMTS, EDGE, HSPA+, HSUPA, HSDPA, GPRS |
| WWAN Muat Turun Maks | 21 Mbps |
| WWAN Muat Naik Maks | 5.76 Mbps |
| Wi-Fi | 802.11n, 802.11g, 802.11b, 802.11a |
| Frekuensi 802.11n | 5GHz, 2.4GHz |
| GPS | Ya |
| Bluetooth | versi 4.0 |
| Infrared | Ya, Smart remote : Universal Remote Control |
KAMERA
| Kamera Depan | 1.9 Megapiksel |
|---|---|
| Kamera Belakang | 5 Megapiksel |
| Flash/Lampu Denyar | Satu LED sahaja |
| Jenis fokus | Autofokus |
SENSOR
| Sensor | Kecerahan cahaya, Gyroscope, Kompas / Magnetometer, Accelerometer |
|---|
BATERI
| Kapasiti | Li-Ion 7000 mAh ,terbina dalam |
|---|
Sewaktu acara pelancaran tablet ini, kami pihak media dapat mencuba dan bermain-main dengan tablet ini. Dari segi kualiti, ianya adalah sama dengan tablet Samsung lain dan yang paling hampir adalah Samsung Galaxy Tab 10.1 yang sudah pun berada di pasaran. Namun dari segi fizikal perbezaan yang ketara yang anda boleh nampak ialah anda akan dapati terdapat pembesar suara di kiri dan kanan bahagian depan tepi skrin tablet ini. Saya sempat mencuba memainkan lagu dan juga memainkan video dan mendapati kualiti bunyi sudah dipertingkatkan dan kuat. Mungkin kerana kedudukan pembesar suara yang berada di hadapan dan juga terdapat dua pembesar suara yang memberikan bunyi dengan kualiti stereo. Untuk pengetahuan anda juga, dengan tablet ini anda dapat membuat panggilan telefon dan SMS kerana ia menyokong fungsi berkenaan tidak seperti Galaxy Tab 10.1.
Menurut Samsung, bekerja menggunakan tablet ini dapat meningkatkan produktiviti pengguna apabila selain tablet yang boleh melakukan pelbagai kerja dalam satu masa (multitasking), kali ini ia menyokong ciri terbaru iaitu kebolehan untuk membahagikan skrinnya kepada dua bahagian dimana ianya dikenali sebagai fungsi multiscreen. Dengan ciri ini anda dapat melakukan dua kerja dalam satu masa tanpa memilih hanya salah satu operasi atau aplikasi yang sedang berjalan. Contohnya jika anda sedang membuat nota menggunakan aplikasi S Note dan sekiranya dalam waktu yang sama anda perlu mencari gambar dari internet untuk dimasukkan ke nota anda, anda hanya perlu mengaktifkan ciri multiscreen melalui butang di penjuru kanan atas dan terus saja pilih pilihan membuka pelayar internet dan skrin anda akan terbahagi dua . Seterusnya anda hanya perlu muat turun atau simpan gambar tersebut dari skrin sebelah kanan dan hanya tampal pada nota anda yang dibuka di sebelah kiri. Melalui demonstrasi yang ditunjukkan kepada kami, ciri ini sangat mudah digunakan.
Selain daripada itu, tablet ini datang dengan aplikasi Adobe Photoshop Touch yang memberikan peluang mengoptimumkan penggunaan S Pen pada tablet ini. Anda boleh mengedit gambar sepenuhnya dengan penggunaan aplikasi ini disamping S Pen yang seterusnya dijamin sangat membantu dan memudahkan kerja anda. Selain daripada aplikasi tersebut, S Pen juga dicipta supaya dapat berhubungan dan berkobelerasi dengan aplikasi lain yang boleh disesuaikan mengikut kehendak pengguna. Aplikasi lain yang disediakan bagi menyokong kebolehan ini adalah S Note, S Planner, Crayon physics dan Polaris Office.
Samsung juga turut memperkenalkan ciri terbaru apabila memperkenalkan Learning Hub iaitu pusat sumber maya untuk semua peringkat umur. Melalui ciri terbaru ini, pengguna Note 10.1 dapat mendapatkan medium pelajaran dari satu pusat multimedia hanya dengan melalui tablet mereka. Pengguna dapat mendapatkan eTextbook dan membaca nota atau artikel disamping menonton video tutorial ataupun sambil-sambil membuka web mencari informasi. eTextbook menawarkan pelbagai kandungan video berinformasi dan pelajaran berinteraktif dimana ianya turut boleh dikongsikan melalui pelbagai peralatan Samsung yang lainnya. Aplikasi Learning Hub ini hanya ditawarkan kepada beberapa negara terpilih dan ianya boleh dimuat turun melalui Samsung App di Malaysia secara percuma sehingga penghujung tahun ini sahaja.
Selain daripada itu ciri-ciri lain yang turut disertakan pada tablet ini ialah Smart Stay dan Pop Up Play yang merupakan ciri yang sama yang terdapat pada Samsung Galaxy S 3. Namun apa yang membezakan sedikit ciri Pop Up Play tablet ini adalah saiz paparan video yang dimainkannya boleh diubah-ubah saiznya. Terdapat juga ciri All Share Group Cast untuk pengguna berkongsi dan bekerja dengan pelbagai dokumen,gambar atau bahan persembahan anda tanpa perlu memuatkan secara berasingan apabila menggunakan aplikasi All Share Samsung.
Bagi pelajar atau sesiapa yang ingin menggunakan tablet ini sebagai medium untuk menyalin nota, ianya sangat sesuai sekali kerana tablet ini mempunyai sejenis fungsi memperbetulkan formula yang anda tulis yang dipanggil Formula Match. Dengan fungsi ini, lakaran formula yang anda conteng pada nota anda akan diperbetulkan dengan susunan yang sepatutnya dan kemas. Malah terdapat fungsi Shape Match yang membetulkan lukisan anda jika anda melukiskan bentuk seperti bulat, empat segi, tiga segi dan sebagainya malah garisan lurus sekalipun. Tidak perlu risau lagi jika sewaktu melukis, hasil garisan/bentuk yang anda lukis tidak lurus kerana fungsi ini akan memperbetulkannya secara automatik.
Tablet ini mempunyai beberapa aksesori tambahan asli yang anda boleh dapatkan di Samsung. Antara yang menarik perhatian kami ialah papan kekunci QWERTY (Keyboard Dock) yang nampak menarik apabila disambungkan dengan tablet tersebut. Terdapat juga HDTV Adaptor, desktop dock, S Pen dengan dua saiz iaitu 8mm dan 6.5mm, set bebas tangan Bluetooth dengan kombo S pen ( 2 dalam 1 ), pelindung tablet, pelindung skrin, USB connection kit dan All Share cast dongle.
Anda sudah boleh mendapatkan tablet ini dengan warna kelabu ( pearl grey) dan warna putih ( pearl white) di kedai Samsung ataupun kedai telefon berhampiran anda dan ianya dijual dengan harga disyorkan RM2199. Bagi aksesori pula tidak kesemuanya terdapat di Malaysia dan untuk maklumat lanjut anda boleh ke pusat servis Samsung berdekatan anda.
Galeri Gambar
- Pearl white
- Pearl grey












































