
ZTE hari ini melancarkan peranti telefon pintar Android terbaru mereka, iaitu Nubia Z5, bermula di negara China.
Sama seperti butiran yang diberitahu dalam banyak blog teknologi sebelum ini, peranti baru tersebut mempunyai spesifikasi skrin 5 inci (1920 x 1080) paparan IPS, pemproses dwi-teras (quad-core) 1.5GHz Qualcomm Snapdragon S4 Pro APQ8064, RAM 2GB, storan dalam 32GB, dan menjalankan sistem operasi Android 4.1.1 Jelly Bean.
Lain-lain spesifikasi peranti tersebut adalah kamera belakang 13 megapiksel, kamera hadapan 2 megapiksel, capaian rangkaian HSPA+, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n, Bluetooth 4.0, NFC dan bateri berkuasa 3,000 mAh. Saiz tepat untuk peranti ini adalah berukuran 138 x 69.2 x 7.6mm dan mempunyai berat 126 gram. Melihat pada spesifikasi yang diberikan, Nubia Z5 sememangnya adalah sebuah peranti yang bagus.
ZTE juga memberitahu bahawa Nubia Z5 akan tiba dengan pilihan warna hitam dan putih, dan dilaporkan model warna yang ketiga akan tiba tidak lama lagi. Model yang berwarna hitam dan putih tersebut akan mula dijual pada bulan Januari tahun hadapan dengan harga 3,456 yuan (RM1,699.77), dan hanya boleh didapati di negara China sahaja ketika ini. Tiada sebarang maklumat mengenai bilakah model ini akan dibawa ke pasaran negara yang lain.
Terdapat spekulasi memberitahu bahawa model ketiga adalah jenis titanium, dan harga yang ZTE mungkin akan letakkan adalah 7,890 yuan (RM3,880.99). Kami sangat berharap agar ZTE akan mempertimbangkan untuk membawa model Nubia Z5 ini ke negara Malaysia di masa hadapan.
Sumber: AndroidGuys









