YES, pembekal rangkaian 4G di Malaysia baru-baru ini memperkenalkan telefon pintar 4G pertama mereka iaitu Eclipse. Telefon ini dikuasakan oleh Android dengan versi 2.2 ( froyo ) didatangkan bersama dengan pelbagai ciri-ciri menarik yang kami pasti anda belum pernah melihatnya pada mana-mana telefon Android lain sebelum ini.
Telefon Android ini menggunakan pemproses Snapdragon dengan kelajuan 1GHz dengan memori RAM hanya 512MB dan ROM 2 GB. Sedikit ketinggalan jika kita perhatikan dari segi spesifikasi kelajuan pemproses dan memori disini namun bagi memori tambahan ianya dapat menampung sehingga 32GB. Skrinnya pula dengan saiz 4.1″ WVGA dengan kebolehan memaparkan warna sehingga 262K . Kamera utama mempunyai resolusi sehingga 5 megapiksel dan kamera pendua hadapan pula hanya 0.3 megapiksel. Bateri pula dengan kapasiti 1500Mah. Telefon ini menyokong jalur WiMAX IEEE 802.16 dan GSM (850/900/1800/1900MHz) disamping penyediaan kebolehsambungan lain seperti BlueTooth dan GPS. Apa yang menarik ialah dikatakan kelajuan Internetnya dapat mencecah sehingga 20MBps dan ini merupakan sesuatu yang baru bagi Malaysia untuk sebuah telefon. Selain daripada itu ianya juga dapat melakukan panggilan video maksimum kepada 4 orang secara serentak dan juga panggilan suara pula kepada 6 orang secara serentak.






