[Kemaskini : 11:00 Pagi, kedua-dua versi 8GB dan 16GB Nexus 4 telah kehabisan stok]
Keluarga Nexus terbaru dari Google iaitu Nexus 4, Nexus 10 dan juga variasi 32GB dan versi data Nexus 7 baru dilancarkan semalam iaitu pada 13 November di beberapa negara seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Dikatakan peranti berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dari pengguna di sana. Nexus 4 dikatakan berjaya dijual dan kehabisan stok hanya dalam masa tidak sampai satu jam di United Kingdom. Untuk pengetahuan pembaca, Google memasarkan peranti-peranti berkenaan secara terus melalui Google Play Store dan perkhidmatan ini belum lagi terdapat untuk negara kita. Di dalam kes negara kita, kita terpaksa menunggu pengeluar dimana dalam kes ini adalah LG (Nexus 4), Samsung (Nexus 10) dan ASUS (Nexus 7 32GB/Nexus 7 3G) untuk memasarkan peranti berkenaan kepada pengguna di sini.

Hasil pemerhatian kami pagi ini melalui Google Play Store Amerika Syarikat, didapati laman jualan bagi Nexus 4 bagi versi 8GB tertera ‘coming soon’ dan terdapat ruangan untuk memasukkan emel untuk urusan pemberitahuan jika ianya dibuka untuk jualan manakala bagi versi 16GB ianya telah kehabisan stok.
Bagi Nexus 10 pula, laman jualan bagi versi Nexus 10 32GB telah memaparkan kehabisan stok, manakala untuk versi 16GB masih terbuka untuk pembelian.
Bagi Nexus 7 pula, kesemua versi iaitu 16GB (WiFi) yang telah diturunkan harganya, versi 32GB (WiFi) dan Versi 32GB+Data kesemuanya masih terdapat stok dan dibuka untuk jualan. Nampaknya peranti ini tidak terlalu dikejar-kejar oleh pengguna.
Anda berminat untuk mendapatkannya?. Jika ya, model apakah yang anda inginkan?. Sila tinggalkan komen anda diruangan komen di bawah.
(Laporan ini berdasarkan pada jam 9.30 pagi waktu Malaysia)



































